Tuesday 24 January 2012

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan??



Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" -
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" -
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang penuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" -
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan kegelapan...

Sunday 15 January 2012

MEMULIAKAN WANITA ADALAH TANDA KEMULIAAN SEORANG LELAKI


 Bukan sahaja suami milik Allah bahkan isteri juga milik Allah. Jangan perlakukan sewenang-wenangnya. Salinglah lengkap melengkapi kerana Allah.

1.      Perintah Allah supaya menggauli isteri dengan baik dan sabar dengan karenah isteri.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“…dan bergaullah kamu semua dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu(merasa)benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya ,janganlah kamu terburu-buru menceraikannya);kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah Al-Nisa’:19)
2.      Wasiat Rasulullah supaya menggauli isteri dengan baik.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berwasiatlah kamu semua supaya berlaku baik terhadap isteri-isteri. Sesungguhnya kamu semua mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan kamu semua menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan kalimah Allah SWT”(Riwayat Al-Tirmidzi)
3.      Berbuat baik kepada isteri lambang kesempurnaan iman.
Sabda Nabi yang bermaksud:
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik budi pekertinya dan lemah lembut terhadap isterinya.”(Riwayat Abu Daud)
4.      Lelaki yang paling baik ialah lelaki yang berbuat baik kepada isteri.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib bermaksud:
“Rasulullah SAW bersabda: Lelaki yang paling baik ialah yang amat baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku. Tidak ada seseorang yang memuliakan wanita, kecuali dia seorang yang mulia. Tidak ada yang menghina wanita, kecuali orang yang rendah pekertinya.”(Riwayat Abu Daud).
5.      Larangan menyakiti isteri
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Aku tidak tahan melihat lelaki yang mudah memukul isterinya. Tidakkah malu orang yang memukul isterinya seperti memukul budak, dipukul pada siang hari dan digaulinya pada malam hari?”

Baginda Rasulullah SAW sangat MARAH tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu, aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?” Sahut Rasulullah SAW.

Dan juga Rasulullah SAW bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya.”[1] (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan al-Nasai)
Nabi menegah memukul isteri sesuka hati. Baginda menyandarkan mereka kepada Allah dengan panggilan “hamba-hamba Allah di kalangan wanita”, sebagai gesaan supaya kita patuh kepada Allah SWT dan berwaspada daripada melampaui batas. Nabi SAW bersabda:

عَنْ إِيَاسِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي ذُبَابٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاً تَضْرِبُوا إِمَاءَ اللَّهِ
Maksudnya:
Daripada Iyas ibn ‘Abdillah ibn Abi Zubab berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: “Janganlah kamu memukul hamba-hamba Allah di kalangan wanita.”
Rasulullah s.a.w. memarahi Al-Walid bin ‘Uqbah kerana memukul isterinya, sehingga Baginda berdoa:

اللَّهُمَّ عَلَيْكَ الْوَلِيدَ ، اللَّهُمَّ عَلَيْكَ الْوَلِيدَ
Maksudnya:
Ya Allah, terserahlah kepada-Mu dengan apa yang patut dihukum pada Al-Walid! Ya Allah terserahlah kepada-Mu dengan apa yang patut dihukum pada Al-Walid!. (Hadis riwayat Al-Tabrani di dalam Tahzib Al-Athar dan Imam Ahmad di dalam Musnad Imam Ahmad).



[1] Hadis ini menjadi contoh Rasulullah SAW menidakkan tafsiran yang digunakan sebagai alasan untuk mengarah isteri mengikut kehendak suami dengan sewenang-wenangnya dan ia juga membuka ruang untuk memikirkan bahawa ada kemungkinan perkataan “daraba” di dalam Al-Quran tidak bererti Islam membenarkan isteri dipukul. Bagi ulama tafsir yang menafsirkan perkataan  “daraba” sebagai pukul, ramai yang menegaskan pukul yang dimaksudkan TIDAK BOLEH menyakitkan atau mencederakan seperti yang sering berlaku bila suami memukul isteri